Halaman

Jumaat, 17 Disember 2010

Bagaimana cara mandi wajib bagi seseorang yang patah tangan dan tangannya disimen.


PENJELASAN TAYAMMUM



A. Erti Tayammum



Tayammum dari segi bahasa ialah qasad (mensahajakan ).



Tayammum ialah suatu kemudahan yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam untuk dilakukan semasa menghadapi keadaan yang menghalang daripada berwudu’ atau mandi wajib disebabkan ketiadaan air atau kerana sakit bagi mengharuskan melakukan ibadah.



Tayammum pada syara’ ialah menyapu muka dan kedua belah tangan meliputi siku dengan debu tanah yang bersih mengikut syarat-syarat yang tertentu. Ia difardukan sebagai ganti wudu’ atau mandi wajib .



B.Dalil Perintah Tayammum



Kemudahan tayammum menunjukkan bahawa sembahyang lima waktu sehari semalam wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam sekalipun mereka sedang sakit atau dalam ketiadaan air untuk bersuci dari hadas kecil atau hadas besar.



Maksud Hadis :

Dari Huzaifah r.a, katanya : Rasulullah s.a.w bersabda: …..dan (di antara keistimewaan yang diberikan Allah Taala kepada kami ialah) dijadikan bumi ini seluruhnya sebagai tempat sembahyang untuk kami, dan tanahnya pula dijadikan untuk kami sebagai alat untuk bersuci apabila kami tidak mendapat air.( Riwayat Muslim )



Hadis ini menyatakan sebahagian dari keistimewaan dan kemudahan beribadat yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya berbanding dengan nabi-nabi terdahulu dan umat mereka masing- masing.





Bagaimana cara mandi wajib bagi seseorang yang patah tangan dan tangannya disimen.



1. Membasuh bahagian anggota yang tidak berbalut atau berplaster, termasuklah juga sebelah bawah di bahagian-bahagian tepi balutan jika terdaya melakukannya dan juga anggota-anggota wudhu yang lain.



2. Menyapu semua balutan yang membalut bahagian anggota wudhu dengan air sebagai ganti perbuatan membasuh bahagian anggota yang tidak sakit (sihat) yang ditutupi oleh pembalut.



Jika sekiranya pembalut atau plaster tersebut tidak menutupi kecuali pada bahagian yang sakit sahaja, maka tidaklah wajib ianya disapu. Begitu juga, jika sekiranya dia berdaya membasuh bahagian yang tidak sakit yang ditutupi oleh pembalut atau plaster, maka tidaklah wajib menyapu balutan tersebut dengan air.



Waktu menyapu balutan atau plaster tersebut ialah apabila tiba masa membasuh anggota yang berbalut atau berplaster (dengan benar-benar mengikut tertib wudhu), kerana tertib adalah di antara rukun wudhu dalam mazhab Syafi’e. Contohnya, jika terdapat luka yang berbalut pada tangan, maka hendaklah dia membasuh muka terlebih dahulu, kemudian membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut dan selepas itu barulah menyapu balutan yang ada pada tangan itu sebelum menyapu kepala dan setersnya membasuh kaki.



3. Bertayammum pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan, sebagai ganti membasuh anggota wudhu yang berbalut yang tidak boleh terkena air.



Demi memelihara tertib, waktu bertayammum itu ialah apabila tiba masa membasuh anggota wudhu yang berbalut sama ada sebelum atau selepas dia membasuh dan menyapu anggota wudhu yang berbalut, tetapi yang lebih utama dia bertayammum dahulu sebelum membasuh dan menyapu anggota wudhu yang berbalut untuk menghilangkan kesan debu tanah. Ini beerti jika anggota wudhu yang berplaster itu pada muka, maka hendaklah dia bertayammum, kemudian membasuh dan menyapu anggota yang berbalut itu terlebih dahulu sebelum dia membasuh dua tangan. Ataupun jika anggota wudhu yang berplaster itu pada tangan, maka hendaklah dia bertayammum, membasuh dan menyapunya terlebih dahulu sebelum dia menyapu kepala dan begitulah seterusnya.



Apabila terdapat dua anggota wudhu yang berbalut maka diwajibkan juga dua tayammum, jika tiga anggota wudhu yang berbalut maka diowajibkan juga tiga tayammm, dan jika empat anggota wudhu yang berbalut maka diwajibkan juga empat tayammum iaitu jika balutan itu tidak meliputi keseluruhan anggota wudhu, di mana hanya bahagian-bahagian yang tertu dari anggota wudhu sahaja yang berbalut kecuali kepala. Umpanya, hanya separuh muka dan separuh tangan sahaja yang sakit, maka wajib dua tayammum. Atau separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, maka wajib tiga tayammum. Ataupun separuh muka, separuh tangan dan separuh kaki sahaja yang sakit, akan tetapi seluruh kapala terkena penyakit, maka dalam hal ini wajib empat tayammum.



Apabila seseorang itu telah melakukan tiga perkara tersebut, maka dibolehkan baginya mengerjakan hanya satu sembahyang fardhu atau satu tawaf sahaja. Jika dia ingin mengerjakan satu sembahyang fardhu yang lain atau satu tawaf fardhu yang lain sedangkan wudhu dan tayammumnya yang terdahulu itu belum terbatal, maka tidak perlu membasuh anggota wudhu dan menyapu balutannya sekali lagi, kerana dia masih kekal di dalam suci. Cuma dia hanya wajib bertayammum sahaja kerana satu tayammum hanya terbatas kepada satu ibadat fardhu sahaja. Menurut Imam ar- Ramli Rahimahullah, adalah memadai melakukan satu tayammum sahaja sekalipun pada asalnya dia dituntut melakukan beberapa kali tayammum kerana terdapat dua tau lebih anggota wudhu yang berbalut/berplaster. Menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullah pula, hendaklah dia bertayammum sebanyak mana dia dituntut melakukan tayammum pada asalnya. Tetapi jika dia berhadas, maka hendaklah dia mengulangi tiga perkara yang tersebut di atas.



Oleh kerana anggota yang berbalut/berplaster itu adalah tangan yang merupakan anggota wudhu, maka terdapat kekurangan pada wudhu, kerana tangan tidak dapat dibasuh dengan sepenuhnya disebabkan balutan/plaster yang menutupinya. Tambahan lagi tangan yang berbalut/berplaster itu juga adalah merupakan anggota tayammum, maka terdapat juga kekurangan pada tayammum. Ini bererti pengganti (tayammum) itu kurang dan yang kena ganti (wudhu) itu pun kurang. Oleh itu, orang yang mengangkat hadas kecil (berwudhu) dengan cara demikian, ada yang dikehendaki mengulang atau mengqhada sembahyang fardhu atau tawaf fardhu yang dikerjakannya selama dia memakai balutan atau plaster tersebut apabila dia sudah sembuh. Mereka yang dikehendaki mengulangi atau mengqadha itu adalah di dalam tiga keadaan berikut:



1. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu terletak pada anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan, sama ada diletakkan pembalut ataupun plaster itu ketika dia dalam keadaan suci daripada hadas ataupun tidak dan sama ada pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit ataupun tidak.



2. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki, tetapi balutan atau plaster itu dipakai ketika dalam keadaan berhadas dan pembalut atau plaster itu menutupi bahagian yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut itu.



3. Balutan atau plaster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan diletakkan atau dipakai ketika dalam keadaan suci daripada hadas, akan tetapi pembalut itu menutupi bahagian anggota yang tidak sakit melebihi had yang diperlukan untuk mengikat pembalut.



Manakala orang yangtidak dikehendaki mengulang atau mengqadha sembahyang fardhu atau tawaf fardhu yang dilakukannya itu adalah di dalam dua keadaan berikut:



1. Balutan atau palster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan balutan atau palster itu pula tidak menutupi anggota yang tidak sakit sekalipun bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster, sama ada diletakkan balutan atau plaster itu ketika suci daripada hadas ataupun ketika berhadas.



2. Balutan atau palster yang membalut anggota yang sakit itu tidak terletak pada anggota tayammum seperti di kaki dan balutan atau palster itu menutupi bahagian yang tidak sakit hanya sekadar bagi keperluan untuk mengikat pembalut atau plaster serta diletakkan atau dipakai balutan atau plaster itu ketika dalam suci (tidak berhadas). (Al-Majmu’: 2/369-374 dan Fath al-‘Allam: 1/455, 457-460).



Praktikal satu persatu wudhu orang yang berbalut/berplaster anggota wudhunya di tangan:



1. Apabila dia hendak mengambil wudhu, pertama sekali hendaklah dia mengambil wudhu seperti biasa iaitu dimulakan dengan membasuh muka disertakan dengan niat.



2. Selepas membasuh muka disusuli dengan membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut atau berplaster, kemudian menyapu bahagian tangan yang berbalut tau berplaster dengan air.



3. Selepas itu bertayammum dengan debu tanah, iaitu dengan meletakka atau menepuk kedua tapak tangan dalam keadaan kering di atas debu, kemudian memindahkan debu ke muka sambil berniat, lalu menyapu muka. Selepas itu, letakkan atau tepuk kedua tapak tangan di atas debu sekali lagi, kemidian memindahkan debu tersebut ke tangan, lalu menyapu kedua tangan hingga ke siku.





4. Ataupun boleh juga dilakukan, selepas membasuh muka disusuli dengan bertayammum sebagai ganti membasuh tangan yang berbalut atau berplaster dan hendaklah tangan itu kering, kemudian diikuti membasuh bahagian tangan yang tidak berbalut atau berplaster, seterusnya menyapu bahagian tangan yang berbalut atau berplaster dengan air.



5. Kemudian menyapu kepala, dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki serta dua buku lali.

Pandangan Mazhab Maliki



Menurut Mazhab Maliki, bahawa orang yang menghidap penyakit kulit umpamanya, ataupun jika pada salah satu anggota yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhu atau mandi hadas, sama ada anggota tersebut dibalut dengan sesuatu seperti plaster, simen, ataupun ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu dan membasuh anggota boleh memudharatkan atau menyebabkan terasa sakit, maka dalam hal ini apa yang perlu dilakukannya ketika mengangkat hadas ialah:



1. Jika anggota berkenaan dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu semua balutan atau plaster itu dengan air, di samping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.



2. Jika anggota berkenaan ditaruh di atasnya ubat tanpa dibalut dengan sesuatu, maka hendaklah dia menyapu dengan air sekiranya tidak memudharatkan. Jika ditakuti memudharatkan, maka bolehlah dibalut luka yang berubat itu dengan kain yang bersih umpamanya, kemudian menyapu balutan tersebut dengan air, disamping itu membasuh anggota sihat yang lain dengan air.



Adapun hukum sembahyang yang dikerjakan selama seseorang itu memakai plaster atau pembalut, dengan sebab takut memudharatkan jika ditinggalkan, tidaklah perlu diulang atau diqhada sembahyangnya itu. (Al-Qawanin al-Fiqhiyyah: 38)



Sebagai irsyad, sekiranya orang yang mempunyai keuzuran seperti yang tersebut merasakan berat untuk mengulangi atau mengqadha sembahyang yang telah dilakukan ketika anggota wudhunya berbalut atau berplaster, maka bolehlah dia bertaqlid (mengikut) wudhu mazhab Maliki. Dalam hal ini, hendaklah dia mengambil wudhu sebagaimana cara berwudhu dalam mazhab Maliki seperti berikut:



Pertama sekali dia hendaklah mengetahui bahawa rukun wudhu dalam mazhab Imam MAlik ada tujuh perkara, iaitu:



1. Niat.

2. Membasuh muka.

3. Membasuh dua tangan serta dua siku.

4. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).

5. Membasuh dua kaki dan dua buku lali

6. Berturut-turut dengan tiada berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota yang lain.

Negara asal : Brunei darussalam



Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam

Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid

Tarikh Diisu : 2004



Nota: FATAWA MUFTI KERAJAAN BRUNEI 2004.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan